Osman Sapian
Osman

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu juga disifatkan sebagai lari daripada tanggungjawab dan amanah yang diberi kepadanya.

"Ini juga membuktikan bahawa laungan demokrasi yang mereka tuntut selama ini tidak lebih daripada sekadar retorik untuk meraih simpati dan sokongan rakyat yang telah terhakis akibat isu integriti pemimpin BN.

"Saya menganggap ADUN Benut gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang yang sepatutnya mengamalkan politik matang dengan memberikan kritikan membina seperti idea penambahbaikkan untuk Belanjawan Johor 2019 yang dibentangkan baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi sebagai mengulas keputusan Hasni kelmarin untuk berbuat demikian kerana mendakwa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak demokratik dan tidak terbuka.

Kerajaan negeri PH sebelum ini memberikan sebuah bilik kepada ketua pembangkang dan elaun bulanan RM3,000 sebagai bukti mengiktiraf peranan pembangkang di Johor.

Mengulas lanjut, Osman berkata, amalan demokrasi diamalkan kerajaan negeri PH pada masa ini lebih baik berbanding sistem demokrasi yang dipraktikkan kerajaan negeri terdahulu.

"Kerajaan negeri tidak akan menarik balik elaun dan kemudahan pejabat yang diberikan memandangkan ia merupakan satu pengiktirafan terhadap pentadbiran yang berasaskan sistem demokrasi berparlimen," katanya. - UTUSAN ONLINE