Abang Johari Tun Openg
ABANG JOHARI TUN OPENG

Menurut Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda GPS, Fazzrudin Abdul Rahman, tindakan tersebut dilihat sebagai perbuatan terdesak pihak tertentu dalam usaha memburuk-burukkan GPS dan mengelirukan rakyat.

Katanya, Pemuda GPS melihat ada cubaan terdesak pihak tertentu untuk meraih sokongan rakyat Sarawak kepada usaha menubuhkan parti baharu dengan ‘mengapi-apikan’ kononnya beberapa wakil rakyat mereka akan keluar parti.

“Semalam, dakwaan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin, sudah diterima menyertai PKR disertakan gambar borang palsu mengenai penerimaan keahlian disebar dimedia sosial.

“Baru-baru ini juga tersebar poster Kabinet bayangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pas mengaitkan nama dua pemimpin kanan GPS iaitu Ketua Whip GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menafikan perkara itu semalam,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Sarawak terutama ahli-ahli parti diseru agar tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan fitnah yang cuba disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Semua wakil rakyat dari empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) masih utuh bersatu dibawah GPS.

“Kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai pemimpin tertinggi GPS dan Ketua Menteri Sarawak terus disokong,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE