Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, jawatan tersebut hanya akan diketahui ketika upacara angkat sumpah bersama dengan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lain yang dijadual berlangsung esok.

"Tunggu esok," jawabnya ringkas ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pas Kelantan di JKR 10, di sini hari ini.

Selepas lima hari Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, jawatan Timbalan Menteri Besar masih belum diumumkan sehingga timbul khabar angin kononnya Mohd. Amar sebagai penyandang jawatan itu sebelum ini tidak akan dikekalkan.

Sementara itu, Mohd. Amar yang turut menghadiri mesyuarat hari ini mengelak bertemu pemberita dan terus meninggalkan pekarangan JKR10.

Dalam perkembangan sama, Ahmad memberitahu, jumlah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu seramai 10 orang dikekalkan.

"Ada perubahan sedikit sebanyak (dari segi nama). Ada muka baharu, ada muka lama," katanya.

Upacara angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra dijadual berlangsung di Istana Kota Lama, di sini pukul 11 pagi esok. - UTUSAN ONLINE