Zahrain Mohamed Hashim

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, ini kerana dakwaan terhadap mereka adalah sangat serius dan melibatkan keselamatan negara dan cuba menimbulkan kekacauan dalam sistem demokrasi.

Katanya, ketiga-tiga Tan Sri itu harus membersihkan nama daripada tuduhan itu kerana tindakan mendiamkan diri boleh menyebabkan rakyat Malaysia percaya bahawa mereka terbabit dengan konspirasi itu.

“Ketiga-tiga Tan Sri itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan integriti penjawat awam untuk berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah dan mereka tidak harus melibatkan diri dalam perancangan menjatuhkan perdana menteri,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Hujung minggu lepas, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed dikhianati dalam dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Semalam Dr. Mahathir menjelaskan bahawa terdapat empat Tan Sri yang didakwa terbabit dalam konspirasi itu dan seorang daripada mereka didakwa mengkhianati yang tiga lagi.

Pendedahan Dr. Mahathir dianggap mengesahkan spekulasi meluas yang semua Tan Sri itu terbabit dalam dakwaan konspi­rasi berkenaan.

Dr. Mahathir membuat pendedahan itu setelah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menjelaskan bahawa laporan polis yang dibuatnya ke atas Zeti, Abdul Gani dan Abu Kassim telah berjaya menggagalkan usaha menggulingkan perdana menteri.

Zahrain berkata, berita mengenai dakwaan penglibatan mereka itu tersebar ke seluruh dunia dan mereka kini tidak mempunyai pilihan selain daripada membersihkan nama.

“Jika mereka tidak terlibat dalam konspirasi itu, mereka haruslah membuat Akuan Bersumpah dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dakwaan jika ia satu fitnah,” katanya. – 
BERNAMA