Ketika diminta mengulas reaksi ucapan dasar Najib di perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu bersedia mengambil tanggungjawab sebagai komandan jentera BN pada PRU-14 seperti yang diamanahkan oleh Perdana Menteri.

Katanya, pergerakan itu juga sentiasa dalam keadaan siap siaga menunggu Presiden meniup semboyan pilihan raya untuk memulakan gerakan.

“Saya dan Wanita UMNO telah memulakan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum sejak empat tahun lalu yang mana kami telah turun padang, mendekati dan memahami hati rakyat.

“Kini terpulang kepada rakyat seperti apa yang dikatakan oleh Presiden, tepuk dada tanya selera sama ada mahu memilih Presiden parti sebagai perdana menteri atau DAP dan Lim Kit Siang. Tetapi jangan sampai silap langkah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan ucapan dasar Najib itu sebagai satu peringatan bahawa pertaruhan pada PRU-14 sangat besar.

Katanya, PRU-14 bukan seperti pilihan raya sebelumnya tetapi bakal menentukan masa depan negara ini.

“Beliau juga telah kupas pencapaian serta perancangan selepas PRU-14. Ini saya fikir bukan hanya ditujukan kepada para perwakilan parti tetapi rakyat secara keseluruhannya,” kata beliau.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, saranan Najib untuk menggerakkan kerja ke arah PRU-14 akan datang akan disambut erat oleh Puteri.

“Sememangnya kami sudah bersedia dan akan terus menjejaki wanita-wanita muda untuk berkempen dalam masa yang sama meneruskan gerak kerja Puteri Peduli. Kita juga akan menjadi barisan hadapan menangkis pelbagai fitnah pembangkang,” katanya.

“Dalam masa yang sama, kami Puteri berikrar untuk berdiri teguh di belakang parti dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Presiden untuk menentukan calon dan kami berjanji akan terus bersama sayap untuk menggerakkan kerja menuju PRU-14 sederap selangkah tanpa rasa tidak puas hati atau keinginan untuk sabotaj,” katanya.