Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya yakin perpecahan antara gabungan pembangkang PKR dengan Pas akan memberi kelebihan kepada BN.

“Di Kedah mungkin di 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN (dewan undangan negeri) akan berlaku tiga penjuru atau lebih jika ada calon bebas. Ini kerana Pas kata nak bertanding di semua kerusi, kalau Pakatan Harapan pun sama.

“BN sudah tentu, kita tidak pernah tak letak (calon). Jadi sekurang-kurangnya (pertandingan) tiga penjuru sudah tetap tetapi kita yakin BN boleh pertahankan kemenangan,” katanya selepas merasmikan program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Utara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai senario pertembungan tiga penjuru di negeri ini pada PRU-14.

Ahmad Bashah memberitahu, pihaknya yakin pengundi di negeri ini akan terus menyokong BN meskipun tidak dinafikan akan berlaku perpecahan undi apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Undi BN tidak akan pecah kerana kita satu sahaja, undi pembangkang mungkin akan berpecah kerana terbahagi kepada Pas dan Pakatan Harapan.

“(Pecah undi) dalam kalangan UMNO mungkin ada tapi sedikit sangat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, penganjuran program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri kira-kira 20,000 orang.

“Program yang terbuka kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan kelulusan ini menawarkan 9,000 peluang pekerjaan dan latihan dengan elaun sebanyak RM2,000 sebulan.

“Oleh itu, saya mahu mengingatkan golongan muda khususnya di negeri ini supaya tidak memilih pekerjaan sebaliknya menggunakan peluang yang diperoleh untuk dijadikan pengalaman,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE