Bukan kerja mudah, malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengaku laluan sukar untuk bertemu calon gergasi, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tok Mad, tiga penggal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Hatta, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pun, pengundi di Negeri Sembilan sempat memohon maaf dalam Facebook kerana terpaksa mengorbankan Tok Mad sementara waktu.

Sementelahan, konsensus Mesyuarat Majlis Presiden PH yang bersidang pada 9 Mac lalu memutuskan mengekalkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr. S. Streram sebagai calon yang mampu memenangi hati pengundi India.

Bukan sikit, tetapi angka 27 peratus menjadi sandaran utama dan keyakinan PKR untuk mengangkat calon PH bertemu calon Barisan Nasional (BN).

Persiapan, rangka kerja dan modus operandi PKR kali ini dilihat agak kemas apabila Anwar mengumumkan nama pemimpin yang akan mengemudi di peringkat Pusat dan negeri.

Anwar menjangkakan akan ada isu perkauman menjadi modal kempen.

Beliau amat berharap, biarlah PRK ini menjadi medan sihat kerana masing-masing ingin memperjuangkan isu rakyat.

Sama ada keputusan akan menjadi 5-2 atau 4-3 sepanjang peristiwa PRK di negara ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih, Cameron Highlands dan Parlimen Port Dickson, hanya pengundi akan menentukan jawapannya. - UTUSAN ONLINE