Abdul Aziz menyifatkan desakan Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan itu sebagai tidak wajar kerana seorang menteri tidak boleh me­minta rakannya ‘dipancung’ atau meletak jawatan.

‘‘Menteri semuanya tertakluk sebagai apa yang kita panggil collective responsibility, jadi seorang menteri tak boleh bercakap di luar Kabinet minta kawan dia ‘dipancung’.

‘‘Saya tak pasti apa sebenar­nya yang berlaku tapi saya fikir ini (perbalahan) perkara biasa dalam kerajaan yang bersifat coalition atau kerajaan bukan satu parti. Jadi pasti ada perbezaan pendapat dan ini yang menyulitkan sedikit,’’ katanya dalam sidang akhbar Karnival Mega Santai Anak Perak di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga exco kerajaan negeri berkata, kepe­mimpinan kanan Pakatan Harapan (PH) sudah mengeluarkan kenyataan supaya tiada lagi kenyataan sehingga ke peringkat mengkritik atau meminta meletak jawatan sama ada terhadap menteri atau pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC).

Katanya, ini akan beri kesan yang negatif di mata rakyat yang belum puas hati dengan janji-janji PH, sebaliknya pe­mimpin pakatan itu harus belajar daripada insiden ini supaya tidak berulang.

‘‘Seruan daripada pemimpin kanan PH seperti Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta jangan lagi ‘menyerang’ sewajarnya dipatuhi dengan serta-merta,’’ katanya.

Mengenai desakan pelbagai pihak supaya Waytha Moorthy dipecat, Abdul Aziz berkata, kuasa melantik dan memecat menteri adalah kuasa Perdana Menteri.

Beliau berkata, cuma dalam realiti politik, disebabkan ke­nya­taan, kehendak atau tuntutan semasa, ia mungkin perlu dipertimbangkan.

‘‘Sama ada patut dikekalkan atau ditamatkan itu hak Perdana Menteri dan kita yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan semasak-masaknya semua faktor yang berkaitan dalam isu ini,’’ katanya.