Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ahli-ahli parti itu juga tidak seharusnya terlalu memikirkan tentang kemungkinan kalah atau hilang deposit.

"Kalah tidak kisah tetapi yang penting, Allah minta kita buat persembahan.

"Persembahan itu dikira berjaya apabila yang menontonnya menganggap persembahan kita baik dan menarik," katanya ketika berucap dalam Taujihat dan Munajat Perdana PRK Parlimen Port Dickson di Maahad Tahfiz At-Thohiriah, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed; Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh; Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun dan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.

Dalam pada itu, Mahfodz memberitahu, walaupun Pas menyasarkan kemenangan dalam PRK tersebut, kejayaan itu hendaklah berteraskan Islam.

Beliau percaya kemenangan itu adalah lebih bermakna jika dibandingkan dengan bekas-bekas sekutu yang pernah meminta Pas meninggalkan agenda perjuangannya.

"Kalau tak menang pun, kita akan mengurangkan undi Datuk Seri (Anwar Ibrahim)," jelasnya.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, kemenangan Pas dalam PRK Parlimen Port Dickson akan membayangkan perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah, beliau berpandangan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak mampu bertahan lama lalu jatuh di pertengahan jalan sebelum PRU-15.

"Kerajaan yang ambil alih mesti berpaksikan kepada pemerintahan Islam," jelasnya. - UTUSAN ONLINE