Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, kenyataan tersebut juga tidak melihat situasi semasa dan tanpa kenaikan gaji sekalipun, harga barang akan tetap naik.

"Hujah yang menuduh bahawa kenaikan gaji kaki tangan awam adalah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang adalah sangat tidak tepat dan tidak logik.

"Ini ibarat satu naratif dan alasan baharu yang kini dikeluarkan oleh kerajaan semasa akibat kegagalan mereka untuk mengawal harga barang," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Kelmarin Mahathir yang meletak jawatan pada 2003 selepas 22 tahun memerintah menolak kenaikan gaji dengan berkata bahawa itu antara faktor kenaikan kos sara hidup.

Menurut Mahathir, kenaikan gaji awam akan menjadikan gaji pada sektor swasta akan ikut sekali naik sekali gus akan harga barang akan turut naik.

Atas alasan itu, Mahathir tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menaikkan gaji kakitangan awam kerana langkah itu meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan.

Mohamed Khaled berkata, sepatutnya Perdana Menteri menilai dan mengambil kira keperluan semasa dan tidak boleh membuat penilaian terlalu umum dan bersifat pukul rata seperti itu.

"Kita mesti lihat jumlah dan nisbah kakitangan awam berbanding penduduk negara kita. Misalnya pada 2003 dengan populasi kira-kira 25 juta orang, penjawat awam kita kira-kira 1 juta orang. Ini bermakna, nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:25.

"Sedangkan kini pada tahun 2018, jumlah saiz populasi kita adalah seramai 32.4 juta orang dengan kekuatan penjawat awam seramai 1.62 juta orang. Ini menjadikan nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:20," katanya. - UTUSAN ONLINE