Sebaliknya, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu berkata beliau menghormati pandangan tersebut dan menyifatkan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu adalah seorang pemimpin yang memiliki pengalaman luas dan sering memberikan nasihat.

“Beliau (Rafidah) adalah seseorang yang memberikan nasihat yang baik* beliau mempunyai pengalaman untuk meneliti pekara-perkara seperti ini, jadi tak salah dia komen,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan mesra program Pasar Jualan Harapan Rakyat di Pernama Kem Port Dickson, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Syed Hamid Albar yang pertama kali turun berkempen untuk Anwar di PRK itu sejak keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Semalam, Rafidah dilaporkan berkata beliau terkilan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberitahunya untuk memegang portfolio Kementerian Pendidikan, namun tidak dilakukannya.

Rafidah yang pernah menerajui Wanita UMNO turut memberi amaran bahawa tidak mustahil kerajaan PH akan kehilangan kuasa sekiranya tidak dapat membuat keputusan penting hanya kerana terikat dengan manifesto yang dijanjikan.

Dalam pada itu, Syed Hamid turut bersetuju dengan pandangan Rafidah yang disifatkannya kerajaan terlalu bergantung kepada manifesto.

“Apa yang Rafidah cakap itu memang betul. Mana-mana parti politik cuba menunaikan manifesto mereka tetapi itu perlu bergantung kepada kemampuan kewangan.

“Apa yang penting sekali ialah rakyat sekarang mahukan kebebasan, masyarakat terbuka dan wakil rakyat yang mesra serta setia kawan,” katanya.- BERNAMA