Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata, pihaknya tidak pernah berhenti berusaha untuk memastikan projek jalan raya yang dikemukakan sejak tahun 1985 itu dilaksanakan kerana ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos, tetapi mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di kedua-dua kawasan tersebut.

Kata beliau, wujud masalah terhadap projek pembinaan jalan raya sepanjang 129 kilometer itu yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang sehingga kini masih belum bermula.

“Terdapat dua kaedah sama ada pembinaannya dilaksanakan mengikut cara biasa iaitu kerajaan mengeluarkan peruntukan menerusi Kementerian Kerja Raya. Kedua, saya mencadangkan supaya jalan raya ini dibina menerusi Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dapat mengurangkan kos,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Abdul Manan, hasil pembinaan jalan raya menerusi projek Jiwa Murni yang dilaksanakan ATM seperti di Sarawak terbukti memuaskan dan kosnya lebih murah.

Sehubungan itu, beliau akan meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertimbangkan cadang­an tersebut dengan duduk semeja membincangkan kos pembinaannya selain membuat rayuan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

“Kita juga akan mengesyorkan supaya Jalan Panching Selatan yang terletak berhampiran perumahan tentera diperbaiki kerana ketika ini laluan itu kurang sempurna ekoran pergerakan keluar dan masuk lori mengangkut batu kuari,” katanya yang juga Ahli Parlimen Paya Besar.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Parlimen Paya Besar bagi memastikan penduduk dapat menikmati kehidupan dan infrastruktur lebih selesa serta lengkap.

Beliau memberikan contoh pembinaan tiga buah jambatan bernilai RM38 juta di Kampung Kawah, Kampung Seberang dan Kuala Kenau menerusi program Jiwa Murni ATM yang memudahkan perhubungan penduduk.