Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menegaskan, selaku pemimpin tertinggi kerajaan negeri, beliau tidak perlu kebenaran kerajaan Pusat untuk melaksanakan tanggungjawabnya sambil merujuk tindakannya mengunjungi kapal MV Pedoman bukan satu kesalahan.

OSMAN SAPIAN
OSMAN SAPIAN 

“Lokasi berkenaan merupakan perairan negeri ini. Jika saya mahu melawat kawasan dalam negeri ini, perlukah saya mendapatkan kebenaran daripada Menteri Luar?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Sesi Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Johor Corporation dengan agensi kerajaan negeri di Desaru Coast, Bandar Penawar, di sini malam tadi.

Pada 12 Januari lalu, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura memaklumkan, mesyuarat JMCIM Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) melibatkan Malaysia-Singapura yang dijadualkan pada 13 dan 14 Januari lalu ditangguhkan.

Keputusan tersebut di­buat kerajaan republik berkenaan kerana mendakwa Osman melakukan pencerobohan se­masa menaiki kapal Jabatan Laut MV Pedoman melawat sempadan antara Johor dan Singapura baru-baru ini.

Susulan itu, Osman berkata, lawatan beliau itu sudah dimaklumkan kepada Menteri serta Timbalan Menteri Luar negara ini dan menegaskan tindakannya itu adalah masih dalam kawasan perairan Johor selain hak beliau sebagai Menteri Besar.

Kemudian pada 18 Januari lalu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengeluarkan kenyataan menafikan memberi kebenaran kepada Osman untuk melawat lokasi yang menjadi pertikaian itu.

Osman berkata, pihaknya tidak memasuki perairan Singapura dalam lawatannya itu sebaliknya hanya mengunjungi pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka.