Ketua Wanitanya, Haniza Talha berkata, gandingan Mohamed Azmin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden telah membentuk gandingan mantap kepada parti.

“Isu melompat keluar parti tidak mempunyai asas dan hanya satu tuduhan jahat yang bermatlamat untuk memecahbelahkan semangat kekeluargaan dalam parti selain mempunyai motif memburukkan imej Azmin.

“Kesetiaan beliau kepada idealisme perjuangan parti terbukti dan sentiasa menjadi inspirasi. Oleh demikian, saya menyeru semua ahli merapatkan saf dan meneruskan gerak kerja serta menolak politik fitnah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tular ketika ini dakwaan kononnya, Mohamed Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ekonomi bersama 20 ahli Parlimen PKR akan menyertai Bersatu.

Spekulasi tersebut turut menjadi bualan netizen susulan ramai ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan dikatakan akan menyertai Bersatu. - UTUSAN ONLINE