Ini mencetuskan tanda tanya mengenai tahap kecergasan pemimpin pembangkang berusia 93 tahun itu.

Sebelum ini kesihatan Mahathir kerap menjadi persoalan memandangkan beliau kerap mendapatkan rawatan IJN.

Malah bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, mendakwa Mahathir dimasukkan ke wad IJN sebanyak 47 kali dalam tempoh 39 bulan lalu.

Justeru, katanya, tahap kesihatan Dr Mahathir sangat membimbangkan sejak tahun 2015 dengan kekerapan menerima rawatan sebanyak 12 kali; 2016 (25 kali); 2017 (enam kali) dan 2018 (empat kali).

Dalam ceramah hari ini, pihak penganjur hanya mengumumkan perkara itu pada sesi akhir ceramah bahawa Mahathir tidak hadir kerana tidak sihat.

Ini menyebabkan penyokong yang hadir dipertontonkan rakaman video Mahathir mengumumkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai calon gabungan pembangkang PKR di Parlimen Teluk Intan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kor Ming dijangka berdepan Datuk Seri Mah Siew Keong yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk pada tahun 2014.

Antara pemimpin pembangkang yang memberi ceramah dalam program di sini termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.- UTUSAN ONLINE