Perebutan kini tertumpu kepada jawatan Timbalan Presiden PKR antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.
Namun, kedua-dua calon itu turut mempertaruhkan wakil masing-masing bagi merebut jawatan Ketua Wanita PKR, iaitu antara penyandang Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha yang dilihat menyebelahi Mohamed Azmin, menentang Fuziah Salleh yang berada dalam kem Rafizi.
Selepas pemilihan di enam negeri, Haniza mengumpul 7,352 undi manakala Fuziah sebanyak 5,931 undi.
Wartawan Utusan Malaysia, Fadzil Zainol berkesempatan menemu bual Haniza bagi mengulas peluang beliau dan kemnya di Selangor yang mempunyai 400,000 ahli iaitu separuh daripada 800,000 ahli PKR yang layak mengundi.

 

UTUSAN: Bagaimana peluang anda Ahad ini?

HANIZA TALHA: Di Selangor, saya ialah Ketua Wanita PKR negeri dan selalu berjumpa de­ngan ahli dalam pelbagai aktiviti. Sokongan kepada saya baik, tetapi tidak menafikan lawan juga mempunyai sokongan.

Kem Rafizi dilihat yakin mendapat sokongan di Selangor?

Itu hak mereka untuk berkata sebegitu. Namun di Selangor, kami sentiasa berhubung de­ngan ahli sehingga prestasi PKR di negeri ini agak baik dengan merekodkan ahli parti yang ramai. Diharapkan pemilihan kali ini dapat meneruskan kesinambungan kepemimpinan itu.

Adakah kempen oleh kem Rafizi menjejaskan Mohamed Azmin di Selangor?

Mereka yang membuat fitnah dan tuduhan itu sebenarnya yang terjejas. Lebih baik mereka menceritakan apakah sumbangan yang mampu diberikan kepada parti, bukannya membuka aib orang lain. Memburukkan orang lain bermaksud mereka ketandusan idea. Ahli-ahli PKR di Selangor bijak untuk menentukan pemimpin.

Bagaimana anda berdepan dengan mereka?

Kita bertanding secara sihat, tidak menggunakan kaedah yang mencurigakan. Jangan terlampau obses sehingga menggadaikan adab bersama kawan-kawan dan juga adab pertandingan.

Apakah nasihat kepada ahli yang mengundi pada Ahad ini?

Saya jangka ramai yang akan keluar mengundi. Saya harap ahli sentiasa bersikap rasional dan jangan emosi. Jika ada yang melanggar peraturan pemilihan wajar dikenakan tindakan.