Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana 'cooling period' bagi pemimpin-pemimpin UMNO itu masih belum berakhir.

"Tiada daripada mereka yang diluluskan pada mesyuarat ini. Diketahui umum bahawa mereka ini perlu melalui fasa 'cooling period'.

"Mereka akan melalui saringan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah MalaysIa (SPRM), polis serta melihat sejauh mana individu-individu ini bagus untuk menyertai Bersatu dan seterusnya menyumbang kepada parti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat terbabit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, perhimpunan agung tahunan sulung selepas parti itu bersama rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkenaan akan membincangkan tentang usaha-usaha memperkasakan parti.

Apa yang penting tambahnya, perhimpunan kali kedua parti itu menjadi medan untuk melihat apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Bersatu di dalam PH untuk bergerak ke depan melibatkan aspek ekonomi, pendidikan serta kepentingan rakyat.

"Hal ini merangkumi perhubungan harmoni antara rakyat serta usaha menangani isu kaum dan agama dalam usaha mewujudkan negara Malaysia yang bersatu padu. Ini merupakan perkara kritikal yang akan didebatkan pada perhimpunan ini," katanya.

Perhimpunan tiga hari itu kata Muhyiddin, akan dihadiri sebanyak 1,359 perwakilan termasuk sayap-sayap.

"Antara pimpinan daripada parti komponen PH yang bakal hadir pada perhimpunan kali ini ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang termasuk wakil Parti Amanah Negara (Amanah)," katanya. - UTUSAN ONLINE