Ahmad Faizal berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana exco kerajaan negeri, malah mereka dapat bekerjasama dengan baik, justeru prestasi kesemua pihak boleh terus dipertingkatkan.

"Setakat ini, tiada apa-apa perubahan di Perak dan seperti kelaziman pada setiap tahun, exco akan kembali mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Sebelum acara tersebut (berlangsung), saya akan mempersembahkan kembali kepada Sultan Perak untuk baginda perkenankan senarai barisan exco dan jika diperkenankan, tentunya barisan exco ini akan dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sukaneka Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Junid, Chemor Kali Ke-13 di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas mengenai desas-desus tersebut selepas salah seorang exco kerajaan negeri dikatakan bakal ditukarkan selari dengan pelantikan Pengerusi PKR Perak yang baharu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dipercayai daripada kem Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ini, terdapat dua exco kerajaan negeri dari PKR iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing. - UTUSAN ONLINE