Dr. Mahathir akur berceramah di atas kenderaan 4WD jenis Toyota Hilux milik Pakatan Harapan setelah  anggota polis mengarahkan treler yang sepatutnya digunakan sebagai pentas ceramah  dialihkan ke tepi jalan kerana tiada permit dan menghalang laluan.

Kerja-kerja mengalihkan treler yang dilakukan sebelum ketibaan Dr. Mahathir  mengambil masa kira-kira10 minit sambil dipantau oleh anggota polis.

Treler yang dialihkan kira-kira 100 meter dari lokasi asal tidak dibenarkan digunakan sebagai pentas ceramah.

Kekalutan itu menyebabkan pihak penganjur beberapa kali memohon maaf di atas kejadian tersebut.

Begitupun ceramah diteruskan di hadapan rumah penduduk dan tiada sebarang  kekecohan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib mengesahkan ceramah tersebut tidak mempunyai permit polis. 

"Tidak ada permit dan ada bantahan daripada penduduk. Ada laporan telah dibuat," katanya.

Antara yang berceramah termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin;  Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu. - UTUSAN ONLINE