AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN 

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun berkata, setakat ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut malah terkejut dengan laporan sebuah portal berita tempatan hari ini.

“Setakat ini, belum ada sebarang perbincangan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Port Dickson dan Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah sendiri belum memaklumkan kerelaan beliau untuk mengosongkan kerusi.

“Sekiranya benar, ini adalah pengorbanan terbesar Danyal terhadap parti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebuah portal berita tempatan, Mstar, hari ini melaporkan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dikatakan menjadi pilihan Anwar untuk ditandingi bagi membolehkannya kembali Ke Dewan Rakyat. 

Menurut sumber pimpinan tertinggi parti tersebut, Presiden PKR itu sudah membuat keputusan kerusi yang akan dipilihnya untuk diadakan satu pilihan raya kecil.

Danyal Balagopal merupakan ahli Parlimen PKR tunggal di negeri ini dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,110 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14. 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata, Anwar akan memilih kerusi Parlimen di negeri yang terletak di selatan atau tengah tanah air yang ditawarkan kepadanya. 

Sementara itu, usaha menghubungi Danyal Balagopal tidak berhasil dan difahamkan satu sidang akhbar oleh pimpinan PKR akan diadakan di Kuala Lumpur esok. - UTUSAN ONLINE