Cabang terlibat ialah Julau di Sarawak serta Tawau dan Pensiangan di Sabah yang mencetuskan perang mulut dan saling tuduh-menuduh sesama pe­mimpin PKR kononnya berlaku cubaan memanipulasi proses pengundian.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata, pemilihan cabang Julau tidak akan diadakan semula kerana analisis hasil kiraan undi membuktikan semua data adalah selamat dan berjaya dimuat naik ke dalam sistem walaupun terdapat aplikasi pengundian pada enam unit tablet ‘disapu’ bersih oleh perisian Prey Anti-Theft.

“Perincian undi yang direkodkan dan analisis teknikal menunjukkan tiada undi yang tercicir dan keputusan pengundian sebenar­nya boleh diterima pakai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perkembangan itu dilihat mampu mengesahkan kemenangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan jawatan Timbalan Pre­siden PKR kerana beberapa pihak melihat pengundian semula di cabang tersebut mampu mengubah keputusan pertandingan untuk memihak kepada lawannya, Rafizi Ramli.

Utusan Malaysia difahamkan ke­pu­­tusan cabang Julau telah diperoleh yang memihak kepada Rafizi dengan majoriti lebih 1,000 undi, tetapi gagal membantunya mengatasi Mohamed Azmin.

Sementara itu bagi keputusan pemilihan semula di cabang Tawau dan Pensiangan, Rashid berkata, laporan yang diterima menunjukkan bacaan negatif, bererti terdapat lebihan kertas undi digital yang diterima oleh sistem berbanding jumlah slip undi yang dikeluarkan.

“Namun, ia masih boleh diguna pakai dan tidak rosak, tetapi harus melalui kaedah penyisihan dan penyusunan semula data yang tersimpan,” ujarnya.

“Sistem e-undi mampu melakukannya kerana setiap data undi telah dilabelkan mengikut tempat, masa dan tarikh undian. Dengan ini JPP merumuskan bahawa integriti data pengundian bagi pemilihan semula di Cabang Tawau dan Pensiangan sebenarnya boleh diterima pakai,” katanya.

Keputusan pemilihan Cabang Julau, Tawau dan Pensiangan akan dimuat naik dalam laman web rasmi pemilihan www.pemilihankeadilan2018.com dalam masa terdekat ini.