Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya berpegang kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang memberi pengampunan penuh kepada Anwar sekali gus melayakkan Presiden PKR itu bertanding.

Katanya, rakaman video yang memaparkan Anwar menerima pengampunan bebas yang dimuat naik dalam media sosial juga membuktikan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK itu kini tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kita perlu menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan mengelak daripada mempertikaikannya,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Port Dickson di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menetapkan 8 November ini untuk mendengar permohonan Anwar membatalkan permohonan yang dikemukakan oleh seorang pengundi di Port Dickson bagi mendapat perisytiharan bahawa Presiden PKR itu tidak berhak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.

Pada 28 September lalu, Noraziah Mohd. Shariff, 38, memfailkan permohonan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon menamakan Anwar sebagai responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua. – UTUSAN ONLINE