Beliau menyifatkannya sebagai kegagalan tadbir urus oleh institusi kewangan.

Anwar semasa wawancara bersama Bloomberg Television berkata, terdapat usaha untuk mendapatkan semula wang daripada institusi-institusi kewangan termasuk Goldman dan ia masih dijalankan.

Beliau berkata, mereka perlu faham bahawa pembabitan secara berlebihan dan jenayah tidak dapat dimaafkan pada ketika negara ini serta rakyatnya menderita.

“Kita perlu mendapatkan se­tiap sen yang dibawa keluar dari negara ini sama ada menerusi pemimpin atau mereka yang terlibat dalam tindakan itu.

“Oleh itu, kita mesti melalui proses yang sewajarnya, namun jika bersedia berunding, mereka perlu memulangkan kira-kira AS$600 juta (RM2.5 bilion) dalam bentuk yuran dan komi­sen,” katanya di sini hari ini.

Anwar menambah, beliau tidak berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan eksekutif Goldman di republik itu yang turut menghadiri New Economy Forum (NEF) kerana siasatan mengenai 1MDB masih berjalan.

Goldman diletakkan di ba­wah pengawasan sejak bertahun lalu ekoran peranannya dalam mengumpul AS$6.5b (RM27 bilion) untuk 1MDB dan hampir AS$600 juta (RM2.5 bi­lion) dalam bentuk yuran dan komisen yang diperoleh daripada bon.

Dalam pertuduhan pertama terhadap individu oleh pendakwa Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan minggu lalu, sekurang-kurangnya tiga eksekutif semasa atau bekas eksekutif Goldman terlibat dalam penjualan bon yang berkaitan dengan sogokan dan pengubahan wang haram.

Goldman sebelum ini berkata, mereka percaya bahawa wang yang dibelanjakan untuk 1MDB akan digunakan untuk projek-projek pembangunan dan yuran serta komisen mencerminkan risiko taja jamin yang diandaikan mereka. – AGENSI