Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ketetapan itu adalah antara perubahan telah diputuskan oleh Mesyuarat Exco Pemuda Kali Ketiga yang berlangsung hari ini.

Jelas Dr. Asyraf, mesyuarat yang dipengerusikan beliau turut memutuskan untuk tidak lagi mengadakan sesi perbahasan bagi dasar kerajaan, memandangkan PAU 2019 adalah persidangan pertama diadakan oleh UMNO sebagai pembangkang.

“Saya telah maklumkan kepada Exco, kalau boleh tiada lagi ucapan yang 15 minit pertamanya dihabiskan untuk memuji-muji ketua. Semua bebas mengkritik termasuklah terhadap saya.

“Saya mahukan perwakilan menumpukan perbahasan kepada agenda utama pada persidangan kali ini, iaitu untuk mengukuhkan parti termasuklah mengenai kerjasama dengan pihak lain,” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat berkenan.

Beliau turut memaklumkan, pada persidangan itu, Pemuda UMNO turut menjemput wakil-wakil Pemuda Pas, Pemuda Ikatan dan Pemuda komponen Barisan Nasional sebagai tetamu jemputan persidangan kali ini. 

Disamping itu, kesemua bekas Ketua Pemuda UMNO juga akan dijemput dalam perasmian persidangan sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka ketika meminpin pergerakan tersebut.

Dr. Asyraf juga memaklumkan, persidangan Pemuda UMNO akan melibatkan seramai 37 orang kepimpinan Pemuda UMNO Pusat dan 191 perwakilan bahagian dari seluruh negara.

Beliau menjangkakan, jumlah perwakilan yang terlibat pada persidangan kali ini bakal mencecah 1000 orang. - UTUSAN ONLINE