Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata (gambar), namun sekiranya masih ada perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang Sabah dan Sarawak, satu perjanjian baharu mestilah dibuat.

“Oleh sebab pada hari ini keadaan dan masyarakat sudah berbeza maka perjanjian baharu hendaklah dibuat, di situlah permintaan dibuat.

“Saya setuju kena buat referundum dan tanya rakyat Sabah dan Sarawak apa yang mereka mahu. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak harus dibangkitkan lagi kerana sudah dimaktubkan dalam Perlem­ba­ngaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel dalam Forum Perlembagaan Persekutuan bertajuk Pindaan Perkara 1 (2): Implikasi Kepada Sistem Federalisme di Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Turut menjadi panel, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wen; Pensyarah di Fakulti Undang-undang UKM, Prof. Dr. Faridah Jalil dan Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Agus Yusof.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Pindaaan itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini.

Sementara itu, Pandikar turut mempersolkan tugas dan tanggungjawab Vui Keong dalam memberikan nasihat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai MA63.

“Yang menjadi penasihat kepada Tun Mahathir mengenai Sabah dan Sarawak sekarang adalah Vui Keong.

“Sama ada dia ada nasihat atau tidak, bila nak laksana, kalau sudah berkuasa, jadi kena buat sekarang. Jangan buat kerana atas dasar nama sahaja, apa beza kalau pinda sekaramg dan bagi balik, itu sahaja,” katanya.