Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali hanya mengadakan kunjungan biasa ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

“Tidak ada kerjasama Pas dan PKR setakat ini. Lawatan Wan Azizah dan Azmin adalah ziarah sahaja kerana ketika Abdul Hadi sakit tidak ada siapa pun dibenarkan melawat termasuk kami.

“Doktor yang arahkan tiada pelawat, kami jumpa dengan beliau (Abdul Hadi pun ketika beliau sudah mahu keluar wad, itu pun beliau sendiri yang panggil kami beberapa orang dari Kelantan untuk berjumpa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi kerjasama Pas dan PKR selepas tersebarnya gambar pertemuan di antara ketiga-tiga pemimpin tersebut baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE