Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Sarawak dalam usaha mendapatkan kembali kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia, Akta Malaysia, Laporan dan Cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

“Tetapi kita masih bukan kesatuan yang sempurna dan kita berusaha untuk menjadi kesatuan yang sempurna pada tahun-tahun akan datang.

“Seperti yang dikatakan oleh Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem), kita Malaysia semalam, kita Malaysia sekarang, kita terus Malaysia esok dan kita selamanya Malaysia.

“Justeru pada hari ini, sekali lagi saya menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk Sarawak keluar dari Malaysia,” tegasnya dalam ucapan sempena sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Menurut Abang Johari, menjadi sebahagian daripada Malaysia tidak bermakna Sarawak tidak boleh berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan kembali hak dan apa yang menjadi miliknya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap rakan pemimpin dalam barisan Kabinet negeri dan rakyat Sarawak terus memberi sokongan kepadanya untuk berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu utama penurunan kuasa kembali ke negeri ini.

“Untuk itu, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Sarawak dalam usahanya untuk mendapatkan kembali kuasa, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia, Akta Malaysia, Laporan dan Cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah terhakis selama ini,” ujarnya.

Mengimbas kembali sejarah 54 tahun selepas Sarawak menyertai Malaysia, Abang Johari berkata, tidak boleh tidak, perlu diakui bahawa kerajaan negeri ketika itu telah membuat keputusan yang bijak.