Menurutnya, ketika ini perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang terdiri daripada wakil-wakil rakyat Pas dan Barisan Nasional (BN) sedang berlangsung dengan beberapa perkara ditawarkan kepada mereka bagi menyelesaikan isu tersebut secara baik. 

“Saya tak nampak ada keperluan mendesak untuk diadakan PRN dengan kos di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saja dijangkakan akan mencecah RM18 juta. Kalau isu ini berjaya diatasi sebaik mungkin sebelum atau pada 4 Julai nanti, tidak akan timbul lagi isu PRN yang mana itu saya percaya bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh semua pihak termasuk Pas sendiri. 

“Saya tak fikir mereka perlu berkeras kerana pendekatan saya adalah memujuk mereka untuk bersama membangunkan negeri. Dalam era Malaysia baharu ini, hubungan antara kerajaan dan pembangkang tak macam dulu di mana kami akan mengiktiraf dan mengakui tugas serta tanggungjawab pembangkang,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Festival Daging Raya yang akan memberi manfaat kepada 6,000 golongan asnaf di negeri ini dengan pemberian daging secara percuma buat mereka. 

Isu pelantikan speaker di negeri ini menjadi polemik setelah kerusi Pakatan Harapan terikat 18 sama dengan kerusi Pas (15 kerusi) dan BN (3 kerusi) selaku pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Mengulas mengenai tawaran sertai pengiktirafan yang dimaksudkan, Mukhriz berkata, jawatan ketua pembangkang akan diiktiraf secara rasmi di mana peranannya tidak hanya terhad ketika DUN bersidang malah turut memiliki pejabat dan kenderaan rasmi. 

“Walaupun kami di pihak Pakatan Harapan tidak menerima cadangan kerajaan perpaduan disyorkan Pas, tetapi ada banyak cara lagi kerajaan boleh berurusan dengan pembangkang bagi mewujudkan ‘semak dan imbang’ demi pembangunan negeri. 

“Antaranya perbincangan sesama Exco bersetuju supaya peruntukan pembangunan negeri turut diberi kepada ADUN pembangkang. Perkara itu merupakan sesuatu yang telah lama kami perjuangkan sejak kami menjadi pembangkang dulu,” katanya. 

Sementara itu beliau mengakui, Pas sebelum ini ada mengemukakan cadangan supaya pelantikan speaker dibuat dari kalangan pemimpin parti itu di peringkat negeri dan individu berkenaan bukanlah terdiri daripada ADUN parti tersebut. 

“Bagi saya walaupun ini bukan sesuatu yang pelik, tetapi agak luar biasa. Kalau itu berlaku, ini bermakna undi pembangkang akan meningkat menjadi 19 manakala undi kerajaan pula kurang kerana kekal 18. 

“Namun secara peribadi saya merasakan isu ini bukanlah terlalu sukar untuk diselesaikan kerana hubungan antara kerajaan dan pembangkang di negeri ini sejak dari dulu tidaklah ‘berlaga’ sangat. Bagi saya ini merupakan antara perkara yang mengukuhkan demokrasi di negara kita di mana saya diyakinkan perbincangan dijalankan sebelum ini, sememangnya dibuat dengan mereka yang mendapat mandat dari parti masing-masing,” katanya.-UTUSAN ONLINE