Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai berniat jahat dan tidak benar sama sekali, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sebarang dakwaan salah laku melibatkan Kementerian Dalam Negeri.

Jelas Muhyiddin, beliau telah mengarahkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji semula projek SKIN secara terperinci selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula projek-projek bernilai tinggi yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Muhyiddin berkata, beliau telah diberikan taklimat oleh pegawai kementerian mengenai projek-projek kementerian oleh kerajaan terdahulu termasuk SKIN yang diluluskan secara rundingan terus kepada syarikat Prestariang SKIN Sdn. Bhd. (PSSB) semasa mula-mula dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Setelah kajian dibuat, jawatankuasa ini mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam terma perjanjian konsesi dan pelaksanaan projek dan pihak jawatankuasa telah mengesyorkan supaya perjanjian konsesi dengan PSSB ditamatkan dan sebuah sistem baharu iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dibangunkan.

“Sistem ini akan memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen Malaysia di samping memberikan penjimatan yang dianggarkan hampir RM1 bilion kepada kerajaan menerusi perolehan secara tender terbuka yang lebih kompetitif, telus dan adil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, portal berita Malaysiakini melaporkan SPRM sedang menyiasat mengenai unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam Kementerian Dalam Negeri berhubung projek Jabatan Imigresen Malaysia itu.

Malaysiakini yang memetik sumber mendakwa badan penguatkuasa itu telah pun menerima maklumat bahawa pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini mungkin mempunyai kaitan dengan cubaan menganugerahkan kontrak teknologi maklumat (IT) jabatan itu bernilai RM3.5 bilion. - UTUSAN ONLINE