Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, kenyataan ahli keluarga Najib yang mengaitkannya dengan dendam adalah satu tuduhan.

“Kita hendak balas dendam buat apa? Yang dia (Najib) buat dahulu kita tidak mengadu pun. Semua kawan saya dihalau dan tidak bagi berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka dilakukan, kita tidak mengadu.

“Kalau dia kata ini salah, you can take it to the court (mereka boleh bawa perkara ini ke mahkamah),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Me­s­yuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Yang hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran; Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Semalam, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa mempersoalkan kewajaran pihak bank membekukan akaun anak lela­kinya yang berusia 10 bulan dan perkara itu turut disuarakan anak lelaki Najib, Datuk Mohd. Nizar berhubung akaun banknya yang juga dibekukan.

Sementara itu, berhubung mak­lumat polis bahawa Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki untuk siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah melarikan diri ke Macau, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengikuti perjalanan ahli perniagaan tersebut.

“Saya tidak tahu di mana dia berada. Terserah kepada mereka yang ditugaskan untuk mengesannya dan menyelesaikan semua masalah yang berpunca da­ripada 1MDB,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir memberitahu, Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini menetapkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan dipilih daripada PKR dan setakat ini belum ada senarai pendek calon berkenaan.

“Selain itu, Pakatan Harapan akan terus menggunakan logo PKR pada PRK itu nanti kerana bimbang jika guna logo Pakatan Harapan, akan mengelirukan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Saifuddin Nasution, kepimpinan PKR Pusat telah meminta PKR Selangor memberikan senarai nama calon untuk dimuktamadkan dan kemudiannya bagi mendapat perkenan daripada Pakatan Harapan.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong setelah penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor semasa pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali me­ninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma tahap empat.