Menurut beliau, apa yang lebih penting salam perdamaian yang dihulurkan dengan penuh ikhlas itu amat dihargai oleh para perwakilan dan menepati gesaan Presiden sendiri yang mahu melihat semua ahli parti bersatu demi kekukuhan parti.

“Salam perdamaian telah pun dihulurkan dengan penuh kemesraan kerana beliau mahu supaya perdamaian itu dipertahankan.

“Jadi terserahlah kepada yang berkenaan sama ada mahu menyambut huluran salam itu atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas penggulungan perbahasan oleh Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Namun, beliau menegaskan, jika tawaran itu ditolak, mereka bukan lagi menentang beliau atas sifat peribadi tetapi menolak kemahuan para perwakilan UMNO, menolak untuk mencari titik perdamaian dan menolak keputusan syura parti.

Tambah Ahmad Zahid, para perwakilan amat menghargai apa yang ditunjukkan oleh Najib yang sanggup menghulurkan salam perdamaian dan berharap mudah-mudahan sikap sedemikian akan menjadi penanda aras dalam parti supaya sebarang perbezaan pendapat boleh disatukan semula.

“Kita harap itulah (berdamai) yang akan disambut oleh pihak yang berkenaan. Malah perwakilan pun memberitahu supaya parti kembali ke saf kepimpinan yang perkasa dan jitu,” katanya.