Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana polis bebas mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanpa mengira status sama ada menteri ataupun rak­yat biasa.

“Sekiranya ada asas untuk menyiasat beliau, tidak kira siapa pun dia... menteri ke, orang biasa ke, saya tak payah keluar arahan.

“Kalau dia dah keluar kenya­taan kita tengoklah apa yang disebut, kenyataan itu betul tak betul, berbaur perkauman ke, hasutan ke, macam-macam undang-undang yang ada maka pihak polis boleh bertindak mengikut keperluan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat sekitar Kuil Sri Maha Mariamman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiada tindakan terhadap Waytha dan Ganabatirau yang dikatakan menerima ratusan laporan polis terhadapnya sejak dilantik menjadi menteri.

Semalam, media melaporkan mengenai penahanan pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris pada pukul 1 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kerana penularan berita susulan daripada kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman.

Polis turut memaklumkan pihaknya telah menerima empat laporan dan telah menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 termasuk kes penahanan Papa Gomo.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Muhyiddin memberitahu, 10 lagi individu telah ditahan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 58 orang ditangkap berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Ujarnya, hingga hari ini pecahan jumlah yang ditahan adalah 38 lelaki berbangsa Melayu, 18 India dan dua Cina.

“Polis juga telah menerima lebih 5,000 aduan di seluruh negara berkait kejadian ini. Berhubung kes anggota bomba yang cedera, seorang saksi telah tampil menyalurkan maklumat, namun belum ada penangkapan dibuat, kita minta lebih banyak saksi salurkan maklumat,” katanya.

Ujarnya, polis termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) masih ditempatkan di kuil tersebut 24 jam sehari walaupun keadaan sudah bertambah baik.