Abdul Aziz berkata, membuat laporan polis itu bagaimanapun merupakan hak pengadu justeru terpulang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Apa kesalahan yang dilakukan kita tunggu sahaja. Bagi saya, tiada apa-apa, saya pun tak tahu apa yang dia nak laporkan kepada siapa, siapa yang dia tuju, siapa yang dia nak ambil tindakan dan sebagainya.

“Kita pun sibuk dengan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi tiada masa hendak ambil tahu benda-benda seperti ini. Saya fikir saya tiada masa hendak komen sangat kerana saya tidak merasakan ini penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengenai isu tersebut sewaktu ditemui meninjau perkembangan pelajar di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Armada Bersatu Perak, Azrul Hakimi berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat penyebaran rakaman audio berkenaan yang tular dalam laman sosial kerana pihaknya merasakan perbuatan individu terlibat adalah serius dan melampau sehingga mengancam kestabilan kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE