Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, beliau hampir terlupa mengisytiharkan hartanya kerana terikat dengan tugas kerja selain perlu menunaikan umrah.

Walau bagaimanapun, jelasnya, beliau kini sedang menyediakan kesemua butiran pengisytiharan harta tersebut untuk diproses.

“Mereka hanya menunggu saya dan saya tidak mempunyai banyak aset. Anggap sahaja sudah dilakukan,” katanya seperti dilaporkan portal The Star Online hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, sehingga kini masih terdapat 13 ahli Parlimen PH dan 24 anggota pentadbiran termasuk setiausaha politik yang belum mengisytiharkan harta.

Sementara itu, Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Keng dari PKR berkata, borang pengisytiharan harta tersebut agak mengelirukan dan oleh itu beliau memutuskan untuk menggunakan khidmat akauntan bagi menguruskannya.

“Terdapat perkara tertentu dalam syarikat saya yang tidak pasti bagaimana untuk menyatakan. Syukur saya tidak memegang apa-apa dana kerajaan, jadi apa yang saya nyatakan tersebut sememangnya kepunyaan saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE