Sehubungan itu Ramli yang akan memulakan kempen ke kawasan Felda dalam masa terdekat berikrar akan memastikan suara pengundi di kawasan itu kede­ngaran di Parlimen sekiranya beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

“Saya terkejut dengan penerimaan mereka termasuklah Orang Asli dan Melayu dan saya akan meneruskan kempen termasuklah ke kawasan tanah rancangan Felda pula.

“Saya percaya mereka memberikan sokongan yang kuat kepada saya sebagai anak watan di sini. Bagi kaum Cina, semalam saya berjumpa dengan Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong) beliau memberi sokongan kuat dan MIC pun berjanji akan memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui pada kempen di Kampung Bertang di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sokongan warga Felda beliau berkata, akan memulakan pusingan kempen seterusnya di kawasan tanah rancangan Felda.

Ramli berkata, beliau akan bertemu dan mendengar permasalahan mereka untuk dibawa kete­ngahkan sekiranya menang dalam pilihan raya kecil kali ini.

“Saya masih belum menjadi Yang Berhormat, apa isu Felda yang saya nampak antaranya isu harga kelapa sawit menurun. Itu punca utama pendapatan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha membantu masyarakat Orang Asli beliau berkata, sekiranya menang beliau akan memberikan fokus dalam membangunkan pendidikan bagi mengubah nasib Orang Asli.

Selain itu, katanya, beliau juga akan memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi kepada masyarakat Orang Asli dalam mengubah kehidupan mereka.