Katanya, kenyataan rasmi bahasa Melayu hanya akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris dan Mandarin sekiranya terdapat keperluan mengenainya.

“Adalah tidak benar dakwaan bahawa bahasa Mandarin menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kementerian Kewangan dan ini boleh dibuktikan dalam laman web rasmi Kementerian Kewangan.

“Kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan,” katanya menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Sambil itu, jelasnya, beliau tidak memahami mengapa terjemahan kenyataan rasmi bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris ataupun sekali-sekala dalam bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Mandarin.

“Jika adapun, terjemahan ke dalam bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal. Terjemahan ini kemudiannya dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan,” katanya.

Tegas Guan Eng lagi, semua kenyataan dalam media rasminya di bawah Kementerian Kewangan sememangnya dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain sekiranya perlu.

“Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan.

“Akan tetapi, saya akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial saya dan juga bahasa Mandarin dalam komunikasi saya bersama akhbar Cina. Saya telah mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin pada 24 Jun 2018 tanpa kepala surat rasmi Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin tentang perkara ini mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan dengan status yang dimuat naik dalam laman sosialnya pada 24 Jun 2018.

“Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE