Musa Aman

Sepanjang tempoh enam bulan ini, rakyat Sabah seperti terbahagi kepada dua iaitu penyokong Tan Sri Musa Aman dan Mohd. Shafie menyebabkan timbul hasut-menghasut dan caci mencaci disebabkan fahaman politik yang berbeza.

Kepada Musa, beliau perlu menerima hakikat bahawa tempoh rejim beliau sudah tamat. Di mahkamah, mereka bertegas menyatakan Barisan Nasional (BN) pa­ling banyak majoriti di Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun hakikatnya rakyat keseluruhan telah menolak parti itu.

Politik adalah berdasarkan angka. Selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN daripada UPKO mengumumkan keluar dan menyokong Parti Warisan Sabah, jelas sudah bahawa BN tiada lagi kekuatan majoriti, maka untuk apa menegakkan benang yang basah.

Di sebalik tumpuan rak­yat Sabah kepada keputusan mahkamah itu, timbul pula khabar angin mengatakan kerajaan baharu akan mengambil alih negeri selepas 13 ADUN dikatakan bakal menyertai Gabu­ngan Bersatu Sabah (GBS) yang ditubuhkan bagi menggantikan BN sebagai pembangkang.

Jika itu berlaku, GBS akan memperoleh sebanyak 35 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) yang membolehkan peralihan kuasa politik itu menjadi realiti, namun apakah manfaatnya kepada rakyat Sabah.

Memang betul politik sukar diramal tetapi perlukah rakyat Sabah dibebankan lagi de­ngan sandiwara yang tiada berkesudahan itu sedangkan wakil rak­yat sepatutnya fokus membangunkan negeri yang masih terkebelakang ini?

Sementara itu, Jumaat ini, Mohd. Shafie akan membentangkan Belanjawan Sabah yang pertama dibawa pimpinan kerajaan baharu, justeru fokus perlu dialihkan ke arah itu.

Keputusan mahkamah hari ini perlu menjadi dorongan kepada beliau untuk menghasilkan belanjawan yang inklusif dan mampu menjana pembangunan ekonomi ne­geri serta pada masa sama memastikan bekalan asas seperti air dan elektrik kepada rakyat dapat diperbaiki.

Janganlah jadikan perbahasan sidang DUN nanti sebagai medan menghentam pembangkang tetapi gunakanlah sebaiknya sesi itu untuk bersama-sama menyelesaikan masalah rakyat.

Di pihak pembangkang pula, terimalah hakikat itu dan berilah pandangan sebaiknya untuk membantu kerajaan negeri mentadbir kerana hanya dengan cara itu barulah rakyat akan memberi soko­ngan kembali, bukannya cuba mendapatkan kuasa melalui pintu belakang.