Tegasnya, MCA tidak seharusnya mengheret parti komponen lain ke dalam polemik dalamannya dan keputusan perwakilannya untuk membubarkan BN menunjukkan ia tidak mahu dilihat meninggalkan BN sendirian dan dipersalahkan jika keputusan itu dianggap langkah ke belakang dalam sistem demokrasi negara.

"Sebagai parti yang berprinsip, MCA harus lebih tegas. Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah meninggalkan BN tanpa syarat. Keputusan sebegini akan memudahkan UMNO dan parti komponen untuk membangunkan semula BN. Tindakan MCA tidak memudahkan BN untuk ‘move on’. Ia telah menunda proses rejuvenasi BN.

"Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak boleh punya rakan yang membebankan ketika kita berada dalam kedudukan paling susut dalam perjalanan politik kita dan tidak mahu memikul tanggungjawab atas kekalahan.

"Dalam politik, yang dituntut ialah perjuangan yang bermaruah dan budaya politik yang benar dan baik. Jika kemenangan sahaja ukuran untuk perjuangan politik, maka itu adalah ‘perdagangan’ dan bukan perjuangan.

BN bukan bahan dagang. Dalam baik dan lemahnya, BN adalah perjuangan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamad berkata, parti komponen lain iaitu UMNO, MIC, MyPPP dan PBRS telah menegaskan bahawa BN akan terus menjadi platform yang dipertahan dan diperjuangkan serta percaya bahawa sistem dua parti dalam arena politik Malaysia mesti diperkuatkan.

Ujar beliau, cadangan MCA untuk menubuhkan gabungan baharu juga tidak akan banyak bezanya dengan BN lebih-lebih lagi jika ia hanya dianggotai parti-parti bukan dari Pakatan Harapan.

Beliau berkata, mewujudkan semula satu gabungan parti baharu hanyalah perubahan kosmetik dan BN memerlukan lebih daripada penjenamaan nama dan logo.

"Rakyat Malaysia akan terus ingat segala kebaikan dan kekurangan, mahupun kesalahan BN dan mereka juga tahu bahawa jalan sebaiknya adalah BN menghadapi semua kelemahannya dan membaikinya dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Beliau mengingatkan MCA bahawa BN adalah instrumen politik paling berjaya dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara perdagangan, perindustrian dan membangun paling berjaya dalam tempoh 60 tahun. - UTUSAN ONLINE