Dominic malah mempersoalkan tindakan Teresa menyalahkan media kononnya laporan mengenai isu matrikulasi boleh mengakibatkan perpecahan kaum juga tidak melambangkan Ahli Parlimen Seputeh itu memperjuangkan hak kaum bukan bumiputera.

Katanya, masyarakat mengkritik Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik disebabkan sering mengeluarkan kenyataan dan dasar yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Malah, sejak kenyataan Maszlee mengatakan pemain industri tidak boleh menolak pekerja tidak berbahasa Mandarin menjadi isu, tiada seorang pun menteri dari DAP yang memberi komen, hanya berdiam diri sahaja sehingga Teresa memberi kenyataan hari ini.

“Saya rasa Teresa tidak mengetahui apa masalah tentang isu ini, masalahnya Maszlee yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, pihak media hanya melaporkan, maka apa salahnya pengamal media?

“Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya membenarkan media melaporkan apa yang baik untuk kerajaan sebaliknya isu yang tidak memberi manfaat kepada kerajaan tidak boleh dilaporkan?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maszlee di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Khamis lalu mengeluarkan kenyataan mengenai isu kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan yang tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Keadaan itu mengundang reaksi marah pelbagai pihak termasuk Dominic yang mahu Menteri Pendidikan itu meletak jawatan serta beberapa pemimpin, penyokong DAP dan MCA. - UTUSAN ONLINE