Tengku Haphiz terajui Pemuda UMNO Terengganu
Tengku Haphiz Tengku Putera 

Beliau yang dilantik menggantikan Mohd. Johari Abu Bakar setelah mencecah had usia Pemuda berikrar menyempurnakan amanah itu dalam usaha bersama menggerakkan kebangkitan semula parti yang kehilangan kuasa di peringkat negeri dan negara.

“Saya berusaha ambil alih teraju ini kerana sayangkan parti keramat orang Melayu dengan kesedaran betapa pentingnya untuk masa depan bangsa, dan tetap opitimis lebih ramai anak muda akan bersama UMNO setelah melihat apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Antara perkara terawal yang akan dilakukan selepas ini ialah jelajah ke seluruh bahagian bagi mendapatkan pandangan daripada pimpinan akar umbi sebelum membentuk pelan tindakan strategik Pemuda UMNO negeri.

“Saya mengharapkan sokongan, bimbingan dan nasihat, insyaAllah saya akan buat yang terbaik,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemudua UMNO Hulu Terengganu ketika dihubungi hari ini.

Menurut Tengku Haphiz, dengan keahlian sekurang-kurangnya 20,000 ahli di setiap daerah, beliau akan memastikan seluruh bahagian memiliki ahli yang berkualiti, berkesan dan tulen sebagai pejuang parti untuk UMNO bangkit dengan bermaruah.

“Tawan semula menjadi misi utama kita dan gerak kerja ke arahnya perlu di segerakan dan ini mesti dimulakan dengan perancangan yang berdasarkan analisis, aspirasi rakyat dan sikap membela hak rakyat.

“Yang pastinya sekarang kita akan menjadi pembangkang yang benar-benar menegur kerajaan, sentiasa memberi pandangan dan perwatakan pemeriksa dan penimbang bagi kebaikan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE