Meskipun Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menang dengan majoriti yang sedikit berbanding pilihan raya terdahulu, tugas yang menanti di hadapannya mesti diteruskan dengan penuh istiqamah.

Semalam, sebaik peti-peti undi mula dibuka dan kiraan dibuat satu persatu, undi untuk BN ter­nyata berkurangan biar pun jumlah pengundi baharu di Putrajaya meningkat sebanyak 10,515 orang berbanding 15,791 orang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada 26,306 orang pada PRU-14.

Beliau yang menang dengan majoriti 3,372 undi berbanding Dr. Samsu Adabi Mamat (PKR) yang mendapat 8,776 dan Zainal Abidin Kidam (Pas) memperoleh 3,634 undi ternyata kehilangan sokongan dari generasi muda.

Kemampuannya benar-benar diuji apabila seluruh negara tertumpu kepada kerusi P.125 yang menyaksikan Pakatan Harapan amat mengidamkan kerusi yang menempatkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Memetik kenyataan seorang pengundi, Tengku Adnan masih mampu bertahan kerana beli­au mendapat sokongan jemaah surau dan pengundi lama yang masih setia untuk bersama-sama BN.

Ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Kompleks Kejiranan Presint 9, semalam, ‘ketua kampung’ itu tetap bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada warga Putrajaya selepas kemenangan berpihak kepadanya.

“Saya akan terus laksanakan tanggungjawab sebagaimana yang sudah saya lakukan pada penggal yang terdahulu dan mohon kepada Allah untuk dapat terus lakukan kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Tengku Adnan yang lebih selesa untuk bertemu muka secara terus dengan warga Putrajaya berkata, beliau akan terus kekal dengan sikapnya mudah didekati dan bersedia bertemu dengan mereka.

Beliau akan kekal dengan sikap mesra dan mudah didekati kerana penduduk Putrajaya sudah dianggap seperti saudaranya sendiri dan meletakkan dirinya sebagai hamba kepada mereka.

Sebagai wakil rakyat yang bakal berkhidmat untuk tempoh lima tahun lagi, beliau boleh membayangkan bahawa ini mungkin penggal terakhir bagi­nya untuk mencurahkan jasa dan keringatnya di sini, dan peluang yang ada akan dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Mungkin agak sukar untuk menelah kehendak anak muda yang mahukan perubahan secara total kali ini, namun tiada siapa boleh untuk menidakkan kehendak mereka.

“Wakil rakyat adalah hamba kepada rakyat, ini bukan tugas yang mudah tetapi saya tidak ada masalah untuk terus memikul tanggungjawab,” katanya.