TENGKU ADNAN
TENGKU ADNAN

Tengku Adnan yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Putrajaya berkata, jika Dr. Mahathir yakin dengan perjuangannya ketika ini, beliau perlu melakukannya dengan berpaksikan kepada kebenaran.

“Tun, jangan berpolitik de­ngan melakukan pembohongan dan cuba mengelirukan rakyat serta warga Putrajaya sedangkan penduduk Putrajaya telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya selama ini.

“Jika Tun menuduh saya pencuri, apakah yang telah saya curi sedangkan saya banyak menggunakankan harta yang saya ada bagi membantu rakyat. Melalui kontrak mana yang saya ambil sedangkan saya telah diisytiharkan sebagai antara orang terkaya di Malaysia pada 1992, ketika itu saya adalah ahli perniagaan yang kemudiannya ter­libat aktif dalam po­litik,” katanya di sini hari ini.

Dalam surat terbukanya kepada Dr. Mahathir yang diedarkan kepada media, Tengku Adnan menegaskan, beliau tidak pernah mencuri melalui mana-mana kontrak dan beliau juga telah menyumbangkan tenaga mempertahankan Dr. Mahathir dari sera­ngan reformasi.

“Sudahkah Tun lupa, waktu Tun susah, saya mempertahankan Tun dari serangan reformasi, Tun lupakah jasa saya ketika itu? Saya telah berpihak kepada Tun walhal antara Tun dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau lebih banyak sumbangannya dalam per­niagaan saya,” katanya.

Dalam ceramah gabungan pakatan pembangkang PKR di sini malam tadi, Dr. Mahathir menu­duh Tengku Adnan sebagai pencuri dan pernah menghubungi­nya selepas tidak dilantik sebagai menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tengku Adnan turut mengingatkan Dr. Mahathir bahawa beliau digugurkan menjadi menteri sewaktu zaman Tun Abdullah Ahmad Ba­dawi dan dilantik terus menjadi menteri sewaktu zaman pentadbiran Najib.

“Bila masa pula saya tidak menjadi Ahli Parlimen dan tidak terpilih menjadi menteri? Hakikatnya saya telah digugurkan menjadi menteri oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya telah menjawat jawatan menteri ini pada zaman Najib.

“Ini adalah satu pembohongan yang besar dan biarlah jawapan saya ini memberikan pertimba­ngan kepada mereka yang cintakan kebenaran tentang apa yang sebenarnya berlaku dan saya dapat membuktikan bahawa Tun telah berbohong. Tun cuba menipu rakyat dengan andaian-andaian sebagaimana serangan kepada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua harta yang dimiliki bukan diperoleh daripada mencuri, malahan bersyukur kerana dapat membantu rakyat dengan harta yang ada biarpun nilainya semakin berkurangan tahun demi tahun dan dengan menceburi politik tidak menambahkan lagi harta­nya seperti didakwa Dr. Mahathir.

Tengku Adnan yang mengkritik tindakan Dr. Mahathir mengedarkan surat terbuka kepada ahli-ahli UMNO mahu bekas Perdana Menteri itu membuat surat terbuka kepada ahli-ahli PKR bagi memohon maaf kerana reformasi yang berlaku dahulu berpunca daripada keputusannya.