Ketua Penerangannya, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya tidak boleh menerima tindakan Kadir yang disifatkan sebagai biadab berhubung tulisan di laman blognya baru-baru ini.

"Penulisan Kadir yang mengulas mengenai istiadat pertabalan Sultan Kedah ke-29, Sultan Sallehuddin pada 22 Oktober lalu dimulakan dengan baik. Namun beliau tiba-tiba mengungkap soal 'berpanjangan usia di bilik lembaga' dan 'pelihara konglomerat niaga baginda'.

Suraya Yaacob
Suraya Yaacob 

"Semua itu menimbulkan tanda tanya. Beliau dalam pada itu turut menulis 'raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara' di mana perbuatan itu seolah-olah memomokkan institusi kesultanan diraja Kedah dengan unsur negatif berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hariini.

Tindakan itu tambah beliau menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar di sebalik penulisan tersebut.

"Beliau juga dilihat sengaja 'menjolok' di perenggan akhir kononnya segala perbelanjaan Raja-Raja Melayu di negara ini perlu didedahkan kepada rakyat menerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagi kami tindakan Kadir mengaitkan perkara-perkara tersebut menggambarkan kebiadaban beliau yang cenderung menghasut ke arah penderhakaan," katanya.

Menurutnya, tindakan Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu telah memalukan seluruh rakyat negeri ini dan tidak wajar dijadikan tauladan.

"Disebabkan itu kami mendesak beliau supaya memohon ampun daripada Sultan Sallehuddin dan institusi diraja Kedah atau kami akan membuat laporan polis terhadapnya," katanya.-UTUSAN ONLINE