Rasman Ithnain (PH-Sedili) yang sebelum ini menjadi ADUN Bebas dan kini sudah menyertai Bersatu meminta tambahan selama dua minit daripada Timbalan Speaker, Gan Peck Cheng, namun hanya diberikan seminit masa tambahan.

Namun, Rasman tetap mahukan masa dua minit dan berkata: "Sia-sia saya pergi ke sini (PH) kalau tak dapat nak beri masa tambahan, sama je macam dulu takde perubahan,”.

Kenyataan Rasman itu kemudiannya mengundang tawa ADUN PH, namun barisan ADUN Pembangkang pula didakwa mentertawakan beliau.

“Tengok tu Timbalan Speaker, mereka (ADUN pembangkang) gelakkan saya... mereka tu semua kawan-kawan saya tu,” katanya.

Terdahulu, Rasman semasa berucap membahaskan belanjawan itu menegaskan, tindakan yang beliau ambil untuk menyertai Bersatu dibuat demi rakyat selain mahu memastikan DUN Sedili terus membangun.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan segala kutukan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang tidak akan melenturkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sedili.

“Jadi, kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, tidak mengapalah jika beliau nak cakap saya salin baju dan buka topeng ke... cakaplah, selagi boleh cakap, cakaplah... semua kutukan tidak akan melenturkan semangat saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE