Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya juga akan menggerakkan jentera untuk menangkis segala dakyah pembangkang dan memberi pe­nerangan kepada rakyat.

“Pengundi kali pertama daripada kalangan wanita muda memang ramai, Puteri UMNO mesti menjejak dan menawan hati mereka, apa yang paling penting adalah BN (Barisan Nasional) mesti menang dalam PRU-14,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Pergerakan Pu­teri UMNO 2017 di sini hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, meskipun tahun ini merupakan tahun terakhir beliau selaku Ketua Pergerakan Puteri UMNO, beliau tidak melihat perkara berkenaan sebagai halangan untuk melakukan yang terbaik demi parti.

“Saya tidak akan mengucapkan selamat tinggal kerana kita akan berjumpa dalam PRU-14 akan datang untuk meraikan kemenangan BN,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, adalah amat penting untuk setiap ahli Puteri UMNO untuk sentiasa berpegang kepada asas perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara.

“Anak muda dengan sejarah tidak boleh dibiarkan terpisah, kalau anak muda buta sejarah, maka akan buta perjuangan,” katanya.

Justeru, Mas Ermieyati mengingatkan setiap anak muda tidak kira lelaki mahupun wanita untuk memiliki mentaliti Negaraku bagi membentuk jati diri anak bangsa.