Wakil UMNO Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar berkata, PKNS sebagai satu badan yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964, sepatutnya menjadi jambatan di antara pemaju dan pembeli.

“Namun, sayang seribu kali sayang, PKNS kini tidak berfungsi mengikut apa yang sepatutnya dan kerana itu pemuda menekankan supaya kita berjanji kepada rakyat bahawa harga rumah mampu diturunkan di Selangor jika kita mengambil semula ne­geri tersebut.

“Buktinya, Kerajaan Persekutuan mampu membina rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan harga yang berpatutan. Belum ambil kira bagaimana Kementerian Wilayah mampu membina rumah transit dan rumah sewa milik.

Ini adalah bukti yang menunjukkan kerajaan mampu mengawal harga rumah,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sementara itu, Jefrizal berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya dikawal oleh ‘tangan ghaib’ DAP meskipun Menteri Besarnya adalah dari PKR.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat berkata, Se­langor hari ini berada dalam keada­an yang sangat bergelora dan menuntut agar UMNO mengambil kesempatan untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri yang disifatkan penuh tipu daya.

Katanya, kerajaan negeri Se­langor di bawah pentadbiran pakatan pembangkang dimomokkan dengan gelaran ‘kerajaan rakyat’ selepas mereka menawan negeri itu.

Namun, setelah dua penggal memerintah, kata beliau, DAP ternyata adalah ‘tangan ghaib’ yang mengawal pentadbiran dan pembangunan di Selangor dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipilih oleh Pas sebagai calon Menteri Besar tetap dijadikan boneka oleh DAP.