Menurutnya, walaupun sesetengah pihak beranggapan kandungan ucapannya agak keras terutama teguran secara terbuka kepada beberapa menteri, namun perkara yang dibangkitkan olehnya harus dipandang serius oleh kerajaan yang ditunjangi UMNO demi kebaikan rakyat.

Dalam hal ini katanya, peningkatan harga barang dan beberapa kenyataan yang dikeluarkan menteri sebelum ini yang mendapat pelbagai maklum balas akar umbi perlu diketengahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk ditangani.

“Saya bukannya mahu menghentam secara membuta tuli sehingga menjejaskan parti tetapi sebenarnya itulah keluh kesah yang disuarakan rakyat setiap kali melawat kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan baju sekolah kepada 500 pelajar sekolah rendah anjuran Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim Mustafa.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO, Musa menyentuh isu keluhan rakyat yang berdepan kenaikan harga barang kerana kelemahan penguatkuasaan termasuk oleh menteri dan secara terbuka meminta pemimpin UMNO yang bertelagah supaya kembali kepada asas perjuangan parti.

Mengulas lanjut, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, semua wakil yang berucap dalam perhimpunan itu harus membuat langkah susulan dan tidak sekadar habis dalam dewan sahaja.

“Berhentilah membodek pemimpin kerana suara akar umbi sedang menilai kita dan mereka mahukan kita membawa masalah yang dihadapi ke peringkat tertinggi kerana golongan berkenaan memerlukan pembelaan,” katanya.