Muhd. Farhan

Wakil Mahasiswa Nasional, Muhd. Farhan Khairuddin berkata, barisan pemimpin yang diibaratkan seperti ‘ibu-ibu dan ayah-ayah’ itu perlu menunjukkan contoh yang baik memandangkan peranan mereka adalah sebagai guru kepada anak-anak muda yang bakal meneruskan perjuangan pada masa akan datang.

“Golongan muda dan mahasiswa ketika ini sedang menilai dan melihat masalah yang berlaku dalam UMNO. Maka kita kena sedar bahawa di peringkat kami melihat apa yang ibu-ibu dan ayah-ayah lakukan.

“Kamu semua guru-guru kami, kami akan belajar apa yang dilakukan oleh ibu-ibu dan ayah-ayah. Jadi saya nak tanya adakah kelakuan seperti ini yang nak diajar kepada kami, inikah kita nak tunjuk kepada generasi akan datang?,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Muhd. Farhan berkata, UMNO perlu melakukan perubahan untuk mengembalikan semula kepercayaan anak muda kepada parti itu.

Kata beliau, ancaman politik di peringkat universiti berlaku apabila mahasiswa lebih mempercayai pensyarah berbanding ahli politik, walaupun golongan tenaga pengajar itu menyebarkan ideologi pemikiran menentang kerajaan.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu pantau kerana ada sesetengah pensyarah menyalahgunakan kuasa menyebarkan perkara negatif. Jangan sampai satu hari nanti orang tidak kenal siapa itu Perdana Menteri,” katanya.