Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, krisis dalaman pakatan itu tidak dapat disembunyikan lagi apabila masalah pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan sahaja gagal diselesaikan, malah dilihat melarat dari satu negeri ke negeri lain.

"Pakatan Harapan tidak dapat selesaikan masalah sesama mereka, ada empat parti DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Dalam banyak hal mereka berbalah, satu berkaitan tempat nak bertanding, kedua sebenarnya dalam parti masing-masing cemburu, iri hati dan ada perasaan tidak suka.

"Tun Dr. Mahathir Mohamad kata semua sudah selesai tetapi tengok daripada kenyataan, parti masing-masing sangat tak puas hati dan terbaharu di Selangor apabila PKR dan PAN berbalah. Nampak sangat perebutan kepada kerusi yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Larian Estet-Padang Terap 2018 di Homestay D'Belimbing Kuala Nerang di sini hari ini yang dihadiri 800 peserta termasuk dari luar negara.

Baru-baru ini, calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa isu pengagihan kerusi dalam Pakatan Harapan di Negeri Sembilan yang kecoh sebelum ini sudah selesai, selain menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan rundingan pengagihan kerusi di Selangor.

Namun, krisis di Selangor semakin memuncak apabila pemimpin PKR dan PAN kini bertelagah berkaitan jawatankuasa bagi pengagihan kerusi di negeri itu.

Dalam PPBM sendiri kata Mahdzir, ada masalah apabila Tun Mahathir mendakwa dia pemimpin parti tetapi dalam kertas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pre­siden.

"Inikah yang ditawarkan untuk rakyat, untuk mentadbir negara tetapi berkecamuk, tidak tentu arah. Pilih manifesto berbentuk kayangan dan ilusi nak hapuskan semua tol dan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” ujarnya.