Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh memberi ulasan lanjut mengenai keputusan Sultan Muhammad V menarik balik gelaran ‘Datuk’ yang dianugerahkan kepada Naib Presiden PAN, Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah kerana ia membabitkan hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Sultan boleh anugerah kepada sesiapa dan boleh tarik kepada sesiapa, jadi kami tidak boleh nak komen apa-apa.

 "Ini adalah hak keistimewaan, dalam Perlembagaan pun sebut ini keistimewaan Sultan dan Agong, mana-mana negeri pun tidak ada orang boleh campur.

 "Malah kalau kita nak cadangkan gelaran ataupun kita tidak setuju kita tidak boleh kata apa sebab ini hak istimewa Sultan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Penghulu 2018 di sini hari ini.

 Beliau diminta mengulas pembatalan darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) kedua-dua pemimpin PAN tersebut berkuat kuasa pada 6 Februari lalu. - UTUSAN ONLINE